top of page

NEWS

Tingkatkan indeks peralihan tenaga

BARINA NANI barinanani.bn@suarasarawak.my

24 August 2021


KUCHING: Kawasan Pertumbuhan Timur Asean Brunei-Indonesia-MalaysiaFilipina (BIMP-EAGA) perlu meningkatkan indeks peralihan tenaga mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas LNG Ltd (PLL) Ezran Mahadzir.


Beliau berkata, indeks peralihan tenaga bagi negara BIMP-EAGA berada di kedudukan 50 ke bawah daripada 115 negara.


"Negara BIMP-EAGA mempunyai potensi untuk meningkatkan lagi indeks ini walaupun terdapat kemajuan dalam perkara ini," katanya ketika webinar Minyak dan Gas: Peralihan kepada Tenaga Bersih, semalam.


Menurutnya, Petronas menetapkan sasaran tiga peratus dalam tenaga boleh diperbaharui.


"Bagi Malaysia, kita perlu mempunyai banyak inisiatif ke arah ini, termasuk menggalakkan program pemeteraian tenaga bersih (NEM) dan pajakan solar untuk tenaga boleh diperbaharui.


"Skim lelongan solar berskala besar boleh membantu pasaran pajakan solar Malaysia dan lebih banyak penglibatan daripada pelbagai pemaju," jelasnya.


Tambahnya lagi, projek solar terapung pertama Malaysia telah disambungkan ke grid.


Beliau turut menjelaskan, negara Asean kaya warisan biologi yang mewakili 80 peratus biodiversiti global.


Ezran memberitahu, bergerak ke hadapan, peralihan kepada tenaga bersih di negara Asean (BIMP) akan digerak melalui dasar, mekanisme pasaran dan kerjasama yang luas.


"Ia memerlukan kerjasama kuat antara wilayah dalam pembangunan sumber bagi mengekal serta membangunkan sumber gas secara ekonomi di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat.


"Selain itu, dasar kerajaan menjadi pemangkin dalam kemajuan bahan api dan sokongan daripada pihak berkuasa melalui dasar yang relevan seperti insentif cukai dan karbon kredit akan meningkatkan penggunaan tenaga bersih," ujarnya.


Source: Suara Sarawak

Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
bottom of page